masa

Monday, March 30, 2009

Masih Adakah Harapan Dalam Perniagaan Fotografi?

Kadangkala kita takut melihat ribuan orang yang mendakwa diri
mereka sebagai jurugambar. Begitu ramai sekali jurugambar sekarang
ini. Mana mungkin kita boleh bersaing dalam keadaan begini. Masih
adakah harapan untuk kita berjaya dalam perniagaan fotografi?

Kita harus melihat fenomena ini dari sudut yang positif. Kebanjiran
peminat fotografi di seluruh dunia ketika ini telah membuatkan
harga peralatan kamera menjadi jauh lebih murah dari sebelumnya.
Ini kerana, produk kamera boleh dikeluarkan secara besar-besaran
dan ini telah dapat menurunkan harganya. Proses perkongisan ilmu
fotografi juga telah menjadi lebih mudah kerana adanya komuniti
yang besar dalam bidang ini.

Cuma, apa yang tidak menyenangkan ialah, dari sudut perniagaan,
nilai perkhidmatan fotografi dikatakan telah menurun. Akibat
persaingan yang terlalu sengit, ada segelintir jurugambar memotong
harga untuk membolehkan dirinya mendapat sesuatu kerja atau tugasan
fotografi. Namun, pada pendapat saya, jurugambar yang memotong
harga secara keterlaluan, akan memakan diri sendiri dalam jangka
masa panjang.

Jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan
anda, anda tidak perlu risau akan kebanjiran peminat fotografi
sekarang. Majoriti peminat fotografi hanya menjadikan fotografi
sebagai hobi. Peluang perniagaan dalam fotografi masih terbuka
luas. Anda cuma perlu kreatif dalam mencari peluang. Masih ada
banyak bidang pasaran fotografi yang masih belum diterokai.

Di kalangan jurugambar yang menjadikan fotografi sebagai punca
pendapatan pula, bukan semuanya benar-benar serius. Ada yang
sekadar cuba-cuba. Ada yang melakukannya secara sambilan untuk
tempoh yang singkat sahaja. Untuk menjadi seorang jurugambar
profesional bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang kita
sangkakan. Merakam gambar untuk wang memerlukan disiplin, kerja
kuat, kemahiran tinggi, kecepatan, sanggup menghadapi risiko
kewangan, sanggup menerima tekanan dari pelanggan dan sebagainya.
Hanya yang kuat akan berjaya.

Ya, jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan
anda, peluangnya masih ada.

(ihsan dari Adan Photography, www.adan.biz / www.fototeacher.com)

No comments: