masa

Monday, March 30, 2009

Masih Adakah Harapan Dalam Perniagaan Fotografi?

Kadangkala kita takut melihat ribuan orang yang mendakwa diri
mereka sebagai jurugambar. Begitu ramai sekali jurugambar sekarang
ini. Mana mungkin kita boleh bersaing dalam keadaan begini. Masih
adakah harapan untuk kita berjaya dalam perniagaan fotografi?

Kita harus melihat fenomena ini dari sudut yang positif. Kebanjiran
peminat fotografi di seluruh dunia ketika ini telah membuatkan
harga peralatan kamera menjadi jauh lebih murah dari sebelumnya.
Ini kerana, produk kamera boleh dikeluarkan secara besar-besaran
dan ini telah dapat menurunkan harganya. Proses perkongisan ilmu
fotografi juga telah menjadi lebih mudah kerana adanya komuniti
yang besar dalam bidang ini.

Cuma, apa yang tidak menyenangkan ialah, dari sudut perniagaan,
nilai perkhidmatan fotografi dikatakan telah menurun. Akibat
persaingan yang terlalu sengit, ada segelintir jurugambar memotong
harga untuk membolehkan dirinya mendapat sesuatu kerja atau tugasan
fotografi. Namun, pada pendapat saya, jurugambar yang memotong
harga secara keterlaluan, akan memakan diri sendiri dalam jangka
masa panjang.

Jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan
anda, anda tidak perlu risau akan kebanjiran peminat fotografi
sekarang. Majoriti peminat fotografi hanya menjadikan fotografi
sebagai hobi. Peluang perniagaan dalam fotografi masih terbuka
luas. Anda cuma perlu kreatif dalam mencari peluang. Masih ada
banyak bidang pasaran fotografi yang masih belum diterokai.

Di kalangan jurugambar yang menjadikan fotografi sebagai punca
pendapatan pula, bukan semuanya benar-benar serius. Ada yang
sekadar cuba-cuba. Ada yang melakukannya secara sambilan untuk
tempoh yang singkat sahaja. Untuk menjadi seorang jurugambar
profesional bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang kita
sangkakan. Merakam gambar untuk wang memerlukan disiplin, kerja
kuat, kemahiran tinggi, kecepatan, sanggup menghadapi risiko
kewangan, sanggup menerima tekanan dari pelanggan dan sebagainya.
Hanya yang kuat akan berjaya.

Ya, jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan
anda, peluangnya masih ada.

(ihsan dari Adan Photography, www.adan.biz / www.fototeacher.com)

Thursday, March 26, 2009

Ilmu Rahsia Fotografi

Ilmu fotografi seharusnya dikongsi bersama tanpa menyembunyikan apa-apa rahsia. Namun, bukan semua ilmu akan diajarkan sewenang-wenangnya kepada semua orang. Ada beberapa ilmu yang tidak mudah didapati.

Ilmu rahsia perniagaan atau ‘trade secret’ adalah ilmu fotografi yang paling susah untuk didapati. Ini kerana, ilmu ini, jika didedahkan kepada umum akan menjejaskan perniagaan seseorang itu. Bagi sesetengah orang, mendedahkan ilmu ini umpama membunuh diri sendiri. Biasanya, seseorang jurugambar tidak akan mendedahkan teknik tertentu beliau yang menjadikan karyanya unik. Jika beliau mendedahkan teknik ini secara umum, jurugambar tersebut tidak akan ada sebarang keistimewaan lagi.

Jurugambar juga jarang ingin berkongsi pembekal (supplier) bagi produk tertentu. Pembekal kepada produk ini menjadi seakan ibu duit kepada perniagaannya. Jika semua orang ada produk yang serupa, perniagaan beliau dikhuatiri tidak akan mampu bersaing lagi. Contohnya, jika seseorang jurugambar mempunyai pembekal album gambar yang yang cantik tetapi murah, beliau amat berat untuk mendedahkan dimana beliau membeli album gambar tersebut.

Walaupun jurugambar cuba merahsiakan beberapa perkara yang beliau ketahui, bukanlah bermakna rahsia itu tidak boleh didedahkan langsung. Sesuatu rahsia itu boleh didedahkan kepada orang yang tertentu. Jika seseorang itu menunjukkan minat yang mendalam, bersungguh-sungguh serta sedia membuat kebaikan kepada si penyimpan rahsia, rahsia itu tentu sekali boleh dibocorkan.

Saya faham dan setuju, rahsia perniagaan harus dikawal rapi. Namun, ilmu fotografi umum harus dikongsikan bersama, tanpa rahsia. Bagi saya, orang yang kedekut ilmu ialah orang yang tidak cukup ilmu. Sebab itulah dia fikir, jika dia mengajarkan ilmunya, ilmunya akan cepat habis!

(ihsan dari Adan Photography, www.adan.biz / www.fototeacher.com)

Wednesday, March 25, 2009

KEMBALI..

lame beb tak update blog..
no idea since last article..tapi start sekarang akan disiplin sikit updating blog ni!!
enjoy everyone..!!