masa

Wednesday, January 28, 2009

7 Istilah Videografi

7 Istilah Yang Anda Perlu Tahu Dalam Videografi Perkahwinan

1) Kamera digital dan analog
Pada ketika ini, kamera video analog amat kurang sekali digunakan.
Ini kerana kamera video digital mampu menghasilkan gambar yang jauh
lebih baik, harga yang mampu dimiliki dan memudahkan aliran kerja
terutamanya untuk proses suntingan digital. Secara umumnya,
penggunaan kamera digital membolehkan jurukamera menghasilkan video
perkahwinan yang lebih berkualiti dengan kos yang lebih rendah.

2) Format video
Format video merujuk kepada jenis kamera dan jenis pita video.
Terdapat berbagai jenis format video yang digunakan dan setiap
satunya mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Format video yang
paling popular yang digunakan untuk merakam gambar perkahwinan
adalah format mini DV. Ianya tergolong dalam format digital. Pita
mini DV ini bersaiz kecil ( lebih kecil dari kotak rokok ), tidak
mahal dan mampu menghasilkan kualiti gambar yang baik. Lain-lain
format digital yang ada digunakan adalah Digital 8, DVCAM, DVC Pro
dan lain-lain lagi.

3) 'Master tape'
' Master tape' bermaksud pita asal yang digunakan untuk merakam
gambar video. Selepas rakaman selesai dibuat, pita ini akan
disunting dahulu sebelum dijadikan VCD atau DVD untuk ditonton oleh
pelanggan. Ini bermaksud, 'master tape' mengandungi imej video yang
tidak disunting. Walaupun tidak disunting, kualiti gambarnya adalah
lebih baik dari VCD atau DVD yang sebenarnya merupakan salinan dari
pita asal.

4) Suntingan video
Suntingan video adalah merupakan satu proses dalam 'post
production', iaitu satu proses yang terlibat selepas tamat sesuatu
penggambaran. Biasanya, kerja yang terlibat dalam proses suntingan
digital adalah seperti berikut:
a) 'Digitizing' - memindahkan imej video dari pita ke dalam cakera
keras komputer.
b) Offline editing - memotong keluar babak video yang tidak menarik
dan menyusun semula setiap babak video mengikut kesinambungannya.
c) Online editing - memasukkan tajuk video, muzik latarbelakang dan
kesan khas.
Setelah suntingan siap dilakukan di dalam komputer, imej video ini
akan dipindah keluar ke dalam bentuk VCD atau DVD.

5) Montaj video
Montaj video biasanya dimasukkan pada awal sesuatu persembahan
video. Montaj video ini adalah ringkasan kepada keseluruhan video
yang biasanya mengambil masa sekitar 5 minit. Berbagai teknik dan
kesan khas yang menarik akan digunakan secara kreatif dalam montaj
video ini.

6) VCD & DVD
Gambar video yang telah disunting biasanya akan dipindahkan ke
dalam bentuk VCD atau DVD. Seperti yang anda sedia maklum, format
DVD boleh menghasilkan gambar yang jauh lebih baik dari VCD. Pada
ketika ini, video perkahwinan dihasilkan dalam format DVD secara
meluas kerana kualitinya yang baik dan kosnya yang semakin murah.

7) 'Multi Camera Production'
' Multi Camera Production' adalah satu produksi video dimana lebih
dari satu kamera video digunakan secara serentak dan kesemuanya
dihubungkan kepada satu pusat kawalan. Imej terbaik dari salah satu
kamera ini akan dipilih silih berganti. Ini menghasilkan gambar
video terus menerus tanpa potongan dengan sudut rakaman yang
berbeza. Biasanya, imej video dari kamera yang terpilih akan
disiarkan terus ke skrin projektor. Khidmat 'Multi Camera
Production' semakin popular sekarang terutamanya untuk majlis yang
diadakan di hotel kerana ianya dapat menjadikan sesuatu majlis itu
kelihatan lebih gemilang.

(ihsan dari Adan Photography, www.adan.biz / www.fototeacher.com)

No comments: